Saturday 23 May 2015

8 Mayat Terbakar Selepas Pengemboman - Saksi.

ANGGOTA tentera ketika menjalankan tugas rutin mereka di Pos Kawalan Tentera di Tanduo, bagi mengawal anasir luar 
dari menceroboh, selepas insiden pencerobohan pengganas bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu. - Foto fail/Edmund Samunting
KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu lapan mayat dalam keadaan terbakar dipercayai akibat insiden pengeboman, ditemui berdekatan Kampung Tanduo di Lahad Datu. 

Seorang pegawai siasatan jenayah, ASP Vernon Sinclair, berkata seorang pegawai kanan polis, Supt Sheikh Abdul Adziz telah bertemu beliau dan menyerahkan lapan bungkusan plastik hitam mengandungi mayat yang terbakar. 

Beliau berkata, bungkusan itu, setiap satunya ditanda dengan satu nombor antara 25 hingga 32, diserahkan kepada beliau di Balai Polis Cenderwasih di Lahad Datu pada petang 22 Mac, 2013.

"Supt Sheikh Abdul Adziz memberitahu saya beliau menerima mayat itu daripada seorang pegawai VAT69, DSP Abdul Rani Alias yang memberitahu mayat berkenaan dijumpai di Tanjung Batu," katanya. 

Pegawai penyiasat itu berkata demikian semasa memberi keterangan di dalam perbicaraan 30 individu yang mempunyai hubungan dengan pencerobohan lelaki bersenjata Sulu di Kampung Tanduo pada Februari 2013. 

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Jamil Aripin, Sinclair berkata beliau percaya mayat berkenaan dalam keadaan terbakar berikutan kejadian pengeboman yang berlaku sebelum 22 Mac, 2013. 

"Adakah apa yang kamu percaya (pengeboman) disokong oleh mana-mana analisis?" tanya Jamil dan saksi itu berkata: "Tidak." 

Sehari sebelum (21 Mac 2013), Sinclair berkata beliau menerima satu guni yang ditanda dengan nombor 24, mengandungi tulang manusia daripada Abdul Rani. 

Beliau berkata, pegawai VAT69 itu memberitahunya tulang berkenaan ditemui dalam sebuah rumah yang terbakar juga di Tanjung Batu. 

Kepada satu soalan daripada Jamil, saksi berkenaan berkata beliau tidak dapat menentukan berapa jumlah manusia berdasarkan rangka berkenaan tetapi terdapat satu tengkorak di dalam guni itu. 

Sinclair memberitahu mahkamah, mayat yang terbakar dan rangka manusia di dalam guni itu dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk tindakan lanjut. 

Beliau juga berkata, beliau tidak pernah dimaklumkan mengenai hasil sebarang bedah siasat dan identiti mayat yang diserahkan kepada beliau oleh pegawai kanan polis itu. 

Dua puluh tujuh warga Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan atas pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong. 

Mereka juga dituduh merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas. Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Februari dan 10 April, 2013. Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung Isnin ini.



Popular Posts