Lee Chor Heah, 29, didakwa membunuh Goh Wooi Loon, 31, di lorong jalan belakang bangunan teres rumah kedai di Taman Carissa Villa Park, Jalan Bagan Lalang di sini, antara pukul 7 petang dan 7.30 malam, 12 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Lelaki itu yang datang ke mahkamah menaiki kenderaan polis dilihat mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Abdul Wahab.

Tiada pengakuan direkodkan.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 2 Julai ini sementara menunggu laporan bedah siasatan serta laporan kimia dikeluarkan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Fairuz Rahman manakala tertuduh diwakili peguam, Muhamad Asri Abdul Hamid bagi pihak Ramkarpal Singh yang tidak dapat hadir ke mahkamah.

Sebelum ini akhbar melaporkan, seorang pemungut hutang maut selepas ditembak ketika sedang menunggang motosikal di lorong belakang deretan rumah kedai di Taman Carissa Villa Park di sini.

Mangsa didapati mati di tempat kejadian selepas dikatakan terkena tiga das tembakan. Mangsa sebelum itu turut dikatakan dikejar seorang lelaki yang menunggang motosikal di kawasan berkenaan.