Ramlan Mohd. Sanusi, 31, mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang didakwa dilakukannya di rumah No.10, Jalan Duyong Indah 3, Taman Duyong Indah, Kandang di sini antara pukul 6 petang, 16 Mei lalu dan pukul 2 pagi keesokannya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengacukan sebilah pedang yang boleh mendatangkan ketakutan kepada isterinya, Saloha Rupuri, 44.

Bagi pertuduhan kedua, Ramlan didakwa melakukan perbuatan sama dengan mengacukan pedang dan berkata ‘Kau nak mati mok? Kau nak mati mok?’ yang boleh mendatangkan ketakutan kepada ibunya, Laila Abdullah, 63.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, Ramlan didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Saloha dan Laila iaitu kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun 

Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashraf Abd. Hamid manakala tertuduh diwakili peguam bela daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ishak Kari.

Semasa prosiding, Ishak memohon mahkamah membenarkan ter­tuduh menjalani pemeriksaan psikiatri untuk mendapatkan pengesahan sama ada Ramlan waras atau tidak ketika kejadian.

Majistret Mohd. Firdaus Saleh membenarkan permohonan itu dan memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Permai, Johor bagi menjalani pemeriksaan psikiatri serta menetapkan sebutan semula kes pada 22 Jun ini bagi mendapatkan laporan pemeriksaan tersebut.

Utusan Malaysia pada 18 Mei lalu melaporkan, seorang lelaki bertindak di luar kawalan apabila mengurung dan mengugut isteri, ibu serta tiga anaknya selama tujuh jam dalam satu kejadian amuk di Taman Duyong Indah di sini.

Ketika kejadian, suspek dikatakan bertindak luar kawalan apabila mengamuk dan mengurung lima ahli keluarga iaitu Laila, Saloha serta tiga anaknya Rabiatul Akmar, 9, Nur Shaqilla Natasha, 7, dan Nur Qaseh Elfiera, 3, di dalam rumahnya sebelum kesemua mangsa diselamatkan polis yang menyerbu rumah tersebut kira-kira pukul 2 pagi.