Rebekah Aversano dipertemukan dengan Richard Norris dalam satu rancangan televisyen 60 Minutes yang akan disiarkan pada Ahad ini, lapor Sydney Morning Herald.

Aversano masih dapat merasai ‘kewujudan’ adiknya pada diri Norris yang menerima wajah Joshua yang meninggal dunia ketika dia baru berumur 21 tahun.
“Adakah anda tak kisah sekiranya saya menyentuhnya (muka Norris),’’ tanya Aversano kepada Norris.

“Tidak, tidak sama sekali,’’ kata Norris membalas pertanyaan Aversano.
Selepas menyentuh wajah Norris, Aversano berkata: “Ini adalah wajah yang membesar bersama saya (merujuk kepada adiknya yang sudah meninggal dunia),’’ katanya.

Norris memiliki wajah Joshua selepas keluarganya memberi kebenaran kepada Norris untuk menjalani pembedahan pemindahan wajah itu pada 2012.

Pembedahan pemindahan wajah yang dijalani Norris adalah yang pertama seumpamanya di dunia yang pernah dilakukan dengan peluang untuk hidup hanya kira-kira 50 peratus.

Pembedahan itu berlangsung selama 36 jam melibatkan seramai 150 orang doktor dan jururawat di Pusat Perubatan Universiti Maryland.

Norris yang wajahnya cacat selepas terkena tembakan pada 1997 dipilih sebagai calon untuk menjalani pembedahan itu selepas bertemu dengan Eduardo Rodriguez, seorang doktor gigi dan bedah di Pusat Perubatan Universiti Maryland pada 2005.