Monday 1 June 2015

Mayat ditanam dalam Simen, Seorang Suspek Ditahan Di Keningau.

mayat kanak-kanak ditanam dalam simen

Penduduk kawasan taman perumahan dan pemilik rumah terkejut berikutan penemuan satu mayat yang ditanam di bawah lantai bersimen di kawasan dapur kediaman tersebut. Siasatan awal mendapati mayat itu adalah seorang kanak-kanak lelaki yang berusia kira-kira lapan hingga sepuluh tahun berdasarkan bentuk rangka dan rambutnya.

Namun pihak berkuasa sukar untuk mengecam mayat terbabit kerana telah reput ekoran telah lama ditanam dipercayai sejak bulan lepas. Malah jiran tetangga kawasan perumahan itu sebelum ini juga tidak mengesan perkara yang mencurigakan di situ kerana tiada bau busuk keterlaluan dikesan di sekitar rumah tersebut.

Seorang jiran yang dikenali sebagai Asmah berkata, dia mencium bau busuk sekitar dua tiga hari lalu namun tidak menyangka bau itu berpunca dari mayat yang ditanam di rumah berdekatan.


“Setiap kali saya berada di dapur dan membuka tingkap, saya tercium bau busuk seperti bangkai haiwan tetapi saya tidak syak sebarang perkara ganjil kerana berfikir itu mungkin bau tikus atau kucing yang mati atau bau longkang. “Sehinggalah semalam kami dikejutkan dengan kehadiran polis di rumah itu. Satu mayat yang dikatakan bersaiz kanak-kanak ditemukan di dalam lubang yang digali di bahagian dapur,” katanya ketikaditemui di sini.

Seorang lagi jiran, Azizan pula memberitahu, rumah itu disewa oleh sepasang suami isteri berusia 30-an yang mempunyai tiga orang anak namun keluarga terbabit berpindah secara senyap-senyap sekitar sebulan lalu. “Mereka menetap di rumah itu sejak setahun lalu dan kurang mesra dengan jiran tetangga di sini namun sebelum berpindah, saya ada melihat mereka menderma banyak perabot ke sebuah badan kebajikan,” katanya.

Mengulas lanjut, Azizan berkata, dia juga sering melihat keluarga itu bertengkar antara satu sama lain selain sering memukul anak. Semalam, pekerja kontraktor yang diupah pemilik rumah menemukan mayat yang disimen dan ditanam di dapur rumah di Taman Usaha Jaya, Kepong, di sini ketika mahu menjalankan kerja-kerja memasang jubin.

Mayat tanpa identiti itu ditemukan dalam keadaan berbungkus dalam plastik berwarna putih. Ketua Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd. Adnan Abdullah berkata, pihaknya masih belum menentukan identiti sebenar mangsa yang ditanam di dalam rumah terbabit.Katanya, mayat tersebut sukar untuk dicam kerana telah reput selain penyewa terakhir di rumah tersebut telah menghilangkan diri.
 “Kita juga masih menunggu keputusan bedah siasat dan daripada situ, kita akan memperoleh banyak maklumat penting untuk menyelesaikan kes ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad ketika dihubungi berkata, seorang suspek lelaki ditahan di sebuah restoran di Keningau, Sabah pada pukul 6.30 petang ini bagi membantu siasatan.



Popular Posts