Tuesday 16 October 2018

Isu Permohonan IMM 13 (2018)

Isu permohonan IMM13 diluar pengetahuan 
kerajaan Sabah - Mohd Shafie

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal



















KOTA KINABALU, 13 Okt (Bernama) – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjelaskan isu penerimaan permohonan pendaftaran anak-anak pemegang dokumen IMM13 adalah di luar pengetahuan kerajaan negeri memandangkan perkara tersebut dikendalikan Jabatan Imigresen Malaysia, sebuah jabatan di bawah kerajaan Pusat.
Mohd Shafie berkata beliau terkejut selepas mendapat tahu mengenai perkara itu dan mengarahkan supaya penerimaan permohonan pendaftaran anak-anak mendapatkan dokumen IMM13 daripada ibu bapa pemegang dokumen IMM13 dihentikan serta merta.
"Kami (kerajaan negeri) tidak mengetahui (penerimaan permohonan anak-anak pemegang dokumen IMM13). Ketika saya mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan dua-tiga hari lalu, isu ini tidak ada disentuh mahupun dibincangkan kerana kami hanya membincangkan bagaimana cara terbaik untuk meningkatkan keselamatan di persempadanan negeri.
"Saya terkejut dan mengetahui (isu itu) ketika berada di Kuching, Sarawak. Saya serta merta mengarahkan mereka supaya menghentikannya (penerimaan permohonan anak-anak pemegang dokumen IMM13) kerana perkara ini di luar pengetahuan kami (kerajaan Sabah)," katanya.
Mohd Shafie berkata demikian ketika diminta mengulas isu penerimaan permohonan pendaftaran anak-anak pemegang kad IMM13 di Sabah dan Labuan selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO ke-15 di sini, hari ini.
Semalam, Jabatan Imigresen Malaysia Sabah menghentikan penerimaan permohonan pendaftaran anak-anak untuk mendapatkan dokumen IMM13 daripada ibu bapa pemegang dokumen IMM13 berkuat kuasa serta-merta (12 Okt) di seluruh negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Terdahulu, satu rakaman video tular di media sosial menunjukkan orang ramai dipercayai warga asing membanjiri Pejabat Unit Khas Jabatan Imigresen di Wisma Dang Bandang, dekat sini, seterusnya mengundang pelbagai persepsi yang mendakwa pemberian dokumen itu memudahkan mereka mendapat kad pengenalan sebagai warga tempatan.
Untuk rekod, pendaftaran dokumen IMM13 telah dihentikan sejak 2013, yang mana, dokumen itu dikeluarkan kepada warga Filipina yang melarikan diri ke Sabah pada tahun 1970-an dari negara asal mereka di selatan Filipina ekoran krisis politik di wilayah selatan negara itu.
Mohd Shafie berkata isu berkaitan permohonan IMM13 juga tidak pernah dibincangkan dalam Kabinet negeri selain turut memberi komitmen untuk mengatasi masalah berkaitan IMM13 secara baik sekali gus memastikan isu seumpama itu tidak berlaku lagi di masa hadapan.
Beliau berkata permohonan dokumen pengenalan diri membabitkan pendatang asing tanpa izin (PATI) tidak seharusnya dilayan sebaliknya mereka perlu dihantar semula ke negara asal mereka kerana kerajaan telah membelanjakan puluhan juta ringgit bagi menempatkan PATI di Rumah Merah.
Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri juga mahu satu pendekatan proaktif dan efisien diambil dalam menangani isu rakyat tempatan Sabah terutamanya di kawasan pedalaman yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Shafie berkata kerajaan negeri mahu kuasa kerajaan Pusat dalam mengendalikan pendokumentasian pengenalan diri khususnya bagi rakyat Sabah dipindahkan kepada kuasa kerajaan negeri bagi membolehkan isu PATI di negeri itu dapat diatasi secara tuntas.
Sumber :

Apakah Pas IMM 13?

(Contoh Pas IMM 13)
Pengenalan
Pas IMM 13 merupakan suatu pas lawatan yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia mengikut peruntukan Peraturan 11 Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Siapa yang layak memegang pas IMM 13?
Pada dasarnya, pelarian-pelarian dari Filipina yang masuk ke Sabah dan Labuan antara tahun 1972 hingga 1984 layak memegang pas tersebut. Selain itu, anak-anak pelarian yang memiliki sijil lahir (sama ada ibu atau bapa adalah pemegang pas IMM 13) juga layak memohon pas IMM 13 bagi membolehkan mereka tinggal bersama ibu bapa mereka di Sabah dan Labuan.

Prosedur permohonan
(i)            Pemohon perlu hadir ke pejabat Imigresen untuk membuat permohonan dengan mengemukakan sijil lahir asal yang telah disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara.
(ii)          Ibu atau bapa yang memiliki pas IMM 13 perlu hadir bersama pemohon dengan mengemukakan pas IMM 13 yang asal.
(iii)         Sekiranya ibu atau bapa yang memiliki pas IMM 13 telah meninggal dunia, pemohon perlu membawa salinan asal sijil kematian dan pas IMM 13 ibu atau bapa mereka yang telah disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

Kemudahan yang diterima
Pemegang IMM 13 dibenarkan tinggal di negeri Sabah dan Labuan mengikut tempoh yang dinyatakan dalam pas. Pemegang pas IMM 13 juga boleh  bekerja di negeri Sabah dan Labuan tanpa perlu memohon pas kerja (tetapi bukan untuk bekerja dalam sektor profesional dan perkhidmatan awam). Mereka juga berhak untuk menerima pendidikan dan perkhidmatan kesihatan mengikut budi bicara pihak-pihak yang berkenaan.

Sejarah
Pada awal tahun 1970-an, pergolakan politik dan agama tercetus di selatan Filipina. Susulan daripada pergolakan tersebut, ramai warganegara Filipina yang beragama Islam lari ke Sabah dan Labuan untuk memohon perlindungan. Beberapa skim penempatan pelarian telah diwujudkan oleh kerajaan di Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Semporna dan Labuan bagi tujuan di atas.

Memandangkan pelarian-pelarian ini tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan dokumen perjalanan yang sah, kerajaan telah mengambil suatu langkah untuk mengiktiraf kehadiran pelarian-pelarian ini dengan meminda Perintah Pasport (Pengecualian) (No. 2) 1966 menerusi Perintah Pasport (Pengecualian) (No. 2) (Pindaan) 1972.

Menerusi pindaan tersebut, satu perenggan baru telah dimasukkan di bawah perenggan (j) dalam Jadual (Perenggan 2) Perintah Pasport (Pengecualian) (No. 2) 1966 iaitu:

“Persons exempted from section 2 and section 3 of the Passports Act, 1966.

(k) Any national of the Republic of the Philippines entering Sabah other than by a vessel of an international shipping or air line, who satisfies the Minister that his entry is in the interest of Sabah.”

Pindaan di atas berkuatkuasa mulai 12 September 1972 dan selepas itu, pas lawatan HIF22 telah dikeluarkan kepada pelarian-pelarian tersebut dengan bayaran RM20.00 untuk sahlaku selama setahun. Pas tersebut boleh dilanjutkan dari setahun ke setahun.

Pengeluaran pas tersebut bertujuan membantu pemantauan kumpulan pelarian-pelarian tersebut memandangkan mereka berbeza dari kumpulan pekerja-pekerja asing dan juga pendatang-pendatang tanpa izin.

Pas lawatan HIF22 kemudiannya telah ditukar format kepada pas lawatan sosial IMM 13 dengan bayaran RM90.00 untuk sahlaku selama setahun. Pas tersebut juga boleh dilanjutkan dari setahun ke setahun. Pembaharuan pas tersebut selari dengan cadangan pihak Refugees Commission of the United Nations yang mengambilkira keadaan di negera asal pelarian-pelarian tersebut yang tidak membenarkan mereka untuk dihantar pulang.

Sumber:
Blog Rasmi Jabatan Peguam Negara
         

Popular Posts