Friday, 1 May 2015

Mengaku palsu cop imigresen

Artikel: pada tarikh: 19 Mei 2015.



PONTIAN - Seorang lelaki yang memiliki taraf penduduk tetap di negara ini, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati), Pekan Nenas di sini, semalam atas dua pertuduhan memalsukan cop imigresen dan pasport.

Sutomo Toyo, 54, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru dekat sini, pada 2 petang, 24 Disember tahun lalu.

Tertuduh menghadapi dua pertuduhan di bawah Seksyen 12(1)(a) Akta Pasport 1966 dan dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan selain denda RM7,000.

Hakim Salawati Djambri memerintahkan hukuman penjara dijalankan dari tarikh tertuduh ditangkap dan jika gagal membayar denda tertuduh boleh dikenakan penjara selama sembilan bulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Imigresen Malaysia, Noridayu Md Kassim.

Tertuduh yang memakai kemeja-T putih tidak berkolar dan tidak diwakili peguam mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Sementara itu dalam mahkamah sama, seorang wanita, Hamidah Dahlan, 56, dikenakan denda RM15,000 selain sebuah Perodua Viva milik suaminya dilucutkan hak selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan memiliki pasport milik individu lain.

Tertuduh didakwa kira-kira jam 10 malam, 3 April lalu, di dalam sebuah Perodua Viva dengan di rumahnya di Taman Damansara Aliff.

Jika gagal membayar denda terbabit tertuduh boleh dikenakan penjara selama lapan bulan bagi setiap pertuduhan terbabit di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 (Akta 150) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (1) Akta sama.

Tertuduh yang memakai tudung hitam dan blaus berbunga diwakili peguam, Mohamad Haza Khalid.



Popular Posts