PERTENGKARAN MAUT: Pasangan suami isteri ditemui dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di sebuah rumah kongsi di FELDA Sahabat 54, Tambisan. |
LAHAD DATU: Seorang buruh ladang bertindak nekad cuba membunuh diri dengan menyembelih lehernya sendiri selepas dipercayai menikam dan menetak leher isterinya hingga mati dalam kejadian di sebuah rumah kongsi pekerja ladang di FELDA Sahabat 54, Tambisan, di sini awal pagi Ahad lepas.
Lebih menyayat hati, kejadian kira-kira jam 3 pagi itu turut disaksikan sendiri oleh anak lelaki pasangan itu yang berusia 11 tahun.
Ketua Polis Daerah ACP Hamzah Ahmad berkata, pihaknya yang dimaklumkan berhubung kejadian itu oleh penolong pengurus ladang berkenaan telah bergegas ke lokasi kejadian dan menemui pasangan suami isteri terbabit dalam keadaan terbaring berlumuran darah di rumah kongsi berkenaan.
“Sewaktu polis tiba di lokasi, suspek yang merupakan warga asing berumur 35 tahun, bagaimanapun didapati masih hidup sebelum dia dihantar ke Hospital Lahad Datu (HLD) untuk mendapatkan rawatan, namun isterinya yang dikenali sebagai Nurmiati Jupri, 28, sudah meninggal dunia,” katanya.
Menurut Hamzah, berdasarkan siasatan awal pihaknya mendapati berlaku pertengkaran antara kedua-dua suami isteri itu yang dipercayai berpunca daripada masalah kewangan.
Katanya, suspek yang dipercayai naik berang kemudian dikatakan telah bertindak menampar lalu menikam perut dan menetak leher mangsa yang mana ketika kejadian itu turut disaksikan oleh anak lelaki mereka yang terjaga dari tidur akibat terdengar suara bising ibu dan bapanya yang bertengkar.
“Kanak-kanak itu dikatakan berlari keluar rumah untuk mendapatkan bantuan jiran sebaik sahaja menyaksikan kejadian itu.
“Namun, sebaik memasuki semula ke dalam rumah, kanak-kanak itu melihat suspek yang juga bapanya sedang menyembelih lehernya sendiri menggunakan sebilah pisau,” katanya sambil menambah berikutan kejadian itu pihaknya turut merampas sebilah pedang samurai dan sebilah parang sabit di tempat kejadian.
Hamzah berkata suspek yang dalam keadaan bergari dan dikawal rapi oleh polis masih dirawat di HLD, manakala mayat mangsa juga dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.